1MDB Auditor General's Report: This is a copy of the Auditor General’s exact report, which we are uploading in stages over the coming week. We have re-typed the entire report in order to frustrate attempts to persecute whistleblowers. Please excuse any typing errors, the text is an exact replica.

BAB3 PELABURAN DALAM KUMPULAN SRC

1. LATAR BELAKANG

1.1. Cadangan awal penubuhan sebuah strategic resource company telah dikemukakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, iaitu Encik Shahrol Azral Ibrahim Halmi kepada YAB. Perdana Menteri untuk mendapat nasihat dan sokongan beliau pada 24 Ogos 210. Objektif cadangan penubuhan strategic resource company adalah untuk mendapatkan dan mengekalkan kepentingan strategik dalam pengekstrakan, pemprosesan, perkhidmatan logistik dan jual beli yang melibatkan sumber asli antaranya seperti arang batu, uranium, gas, minyak, besi dan aluminium. Justifikasi penubuhan syarikat in oleh 1MDB ialah bagi memastikan Malaysia mendapat pembekalan sumber asli yang mencukupi serta dapat melahirkan tenaga mahir bagi membangun industri sumber asli di masa hadapan. 1MDB juga menyatakan ketiadaan perancangan strategik jangka panjang, kekurangan sumber asli serta kos perolehan sumber asli yang tinggi akan memberi kesan kepada kepesatan ekonomi negara dan tahap persaingan di peringkat global. Sehubungan ini, penubuhan syarikat ini adalah untuk menumpukan usaha di peringkat global kerana semenjak penubuhan syarikat Malaysia Mining Corporation, Malaysia tidak mempunyai kedudukan yang strategik dalam industri ini dan dilaporkan tidak lagi mempunyai akses kepada sumber asli antarabangsa serta masih kekurangan sumber asli strategik untuk bekalan tempatan. Selain itu, usaha ini dapat menyediakan bekalan jangka panjang kepada Tenaga Fuel Services Sdn. Bhd., iaitu subsidiari Tenaga National Berhad (TNB) yang merupakan pembekal sumber tenaga arang batu di Malaysia. Berdasarkan Rancangan Perniagaan SRC bagi tempoh tahun 2011 sehingga 2015, SRC akan membekalkan sumber arang batu untuk keperluan jangka panjang sumber asli strategik negara dalam tahun keempat syarikat beroperasi (tahun 20014).

1.2. Pad 27 Ogos 2010, YAB Perdana Menteri telah meminta supaya YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) semasa itu untuk meminta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mengkaji dan membuat ulasan cadangan penubuhan strategic resource company. Pada 12 Oktober 2010, Ketua Pengarah EPU semasa itu, telah memaklumkan kepada YAB Perdana Menteri mengenai pandangan EPU seperti berikut:

a. Cadangan 1MDB untuk menubuhkan syarikat yang melibatkan sumber strategik seperti arang batu dan uranium disokong dengan pelaksanaan operasinya berasaskan prinsip pasaran;

b. Bagi tujuan pengekstrakan dan pengimportan minyak dan gas, peranan berkenaan dicadang diteruskan oleh Petronas selaku peneraju dalam industri minyak dan gas negara yang juga telah memainkan peranan sebagai strategic resource company dalam sektor berkenaan. Bagi industri besi dan aluminium, ianya dicadang terus dikendali oleh sektor swasta; dan

c. Permohonan mendapatkan pembiayaan menerusi geran daripada Kerajaan sejumlah RM3 bilion tidak disokong. Bagaimanapun, bagi membantu penubuhan SRC, peruntukan pembangunan sejumlah RM20 juta dicadang disediakan sebagai geran pembangunan.

Seterusnya pada 19 Oktober 2010, YAB Perdana Menteri telah mengambil maklum dan bersetuju dengan cadangan Ketua Pengarah EPU.

1.3. Pada 10 November 2010, Ketua Pengarah EPU telah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Eksekutif 1MDB mengenai syarat-syarat kelulusan yang diberi seperti berikut:

a. Tujuan penubuhan syarikat adalah bagi mencapai dan mengekalkan kepentingan strategik dalam pengekstrakan, pemprosesan, perkhidmatan logistik dan trading untuk dua sumber strategik utama iaitu arang batu dan uranium dengan pelaksanaan operasinya berlandaskan prinsip pasaran;

b. Bagi tujuan pengekstrakan dan pengimportan minyak dan gas, Kerajaan berpandangan bahawa peranan berkenaan perlu diteruskan oleh PETRONAS selaku peneraju dalam industri minyak dan gas negara yang juga telah memainkan peranan sebagai strategic resource company dalam sektor berkenaan;

c. Bagi sumber besi dan aluminium pula, adalah lebih sesuai dikendalikan oleh sektor swasta; dan

d. Bersetuju untuk menyediakan peruntukan pembangunan sejumlah RM20 juta sebagai geran pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

1.4. Sehubungan ini, SRC International Sdn. Bhd. (SRC) ditubuhkan pada 7 Januari 2011 dengan modal dibenarkan berjumlah RM100,000 dan modal berbayar sejumlah RM2.00 yang dimiliki sepenuhnya oleh 1MDB. Dua Lembaga Pengarah yang dilantik semasa penubuhan SRC ialah Encik Nik Faisal Ariff Kamil dan Encik Vincent Beng Huat Koh yang masaing-masing merupakan Ketua Pegawai Pelaburan dan Naib Presiden, Pelaburan 1MDB pada ketika itu. Berdasarkan Memorandum and Articles o Association (M&A) SRC, objektif penubuhan SRC adalah seperti berikut:

a. “To identify and invest in projects associated with exploration, extraction, processing, logistics and trading of conventional and renewable energy resources, natural resources and minerals, including activities spanning the full value chain of energy and resources and all other activities related thereto directly of indirectly related to energy and resources and/or activities that requires the prudent management of assets in the interim that will lead to the eventual deployment of funds to fulfill the above.

b. To evaluate and participate in business opportunities by entering into partnerships, joint ventures or any arrangements for sharig profit, union of interest or co-operation with any company, firm or person carrying on or proposing to carry on any business within the objects of the company or calculated to advance its interests, including acquiring and holding shares, stocks or securities of any such company, activities to secure strategic resource investments and investments/projects in areas/sectors of interest to the Government of Malaysia on billateral basis.”

2. STRUKTUR TADBIR URUS DAN ORGANISASI KUMPULAN SRC

2.1. Berdasarkan Memorandum and Articles of Association (M&A) SRC, struktur tadbir urus dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu Penasihat, Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi. Pelantikan dan penamatan Lembaga Pengarah termasuk Pengarah Ganti dan Pengurusan Tertinggi SRC perlu mendapat kelulusan bertulis daripada YAB Perdana Menteri. Lembaga Pengarah tidak dibenarkan dilantik dari kalangan yang memegang jawatan dalam parti politik, pegawai Kerajaan (Persekutuan atau negeri), ahli parlimen atau ahli badan perundangan (Persekutuan atau negeri) selaras dengan Artikel 67 dalam M&A berkaitan.

2.2. Senarai keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah SRC dari tahun 2011 hingga tarikh dipindah milik kepada MKD pada 15 Februari 2012 adalah seperti jadual berikut:

JADUAL 3.1

LEMBAGA PENGARAH SRC INTERNASIONAL SF, BHD.                DARI TEMPOH 7 Januari 2011 HINGGA 15 FEBUARI 2012

NAMA

JAWATAN

TARIKH LANTIKAN

Tan Sri Ismee bin Ismail

Pengerusi

(Pengarah Bukan Eksekutif)

01.08.2011

Datuk Suboh bin Md Yassin

Pengarah Bukan Eksekutif

22.08.2011

Dato’ Che Abdullah @ Rashidi bin Che Omar

Pengarah Bukan Eksekutif

22.08.2011

Shahrol Azral bin Ibrahim Halmi

Pengarah Bukan Eksekutif

01.08.2011

Nik Faisal Ariff Kamil

Pengarah Eksekutif-

Ketua Pegawai Eksekutif/

Pengarah Urusan

07.01.2011

Vincent Beng Huat Koh

Pengarah Bukan Eksekutif

07.01.2011

Sumber: Daftar Lembaga Pengarah SRC

3. STRUKTUR ORGANISASI KUMPULAN SRC

3.1. Pada awal penubuhannya, SRC merupakan subsidiari kepada 1MDB Energy Sdn. Bhd. (subsidiari 1MDB). Pada 16 Ogos 2011, pegangan saham SRC telah dipindah milik kepada 1MDB dan modal dibenarkan dan berbayar telah bertambah kepada RM1 juta. SRC mempunyai sebuah subsidiari, iaitu SRC International (Malaysia) Limited (SRCI). SRCI sebelumnya dikenali sebagai Corporate Point (BVI) Ltd., yang didaftarkan di British Virgin Island (BVI) pada 4 Jun 2010. SRC telah mengambil alih saham SRCI pada 2 September 2011 daripada 1MDB Real Estate Sdn. Bhd. pada harga USD2.00.  Aktiviti pelaburan SRC berkaitan tenaga dan pelaburan lain di luar negara dilaksanakan oleh syarikat SRCI.

3.2. SRCI mempunyai dua subsidiari, iaitu Pristine Link (BVI) Ltd. dan PT SRC Indonesia. Struktur Kumpulan SRC adalah seperti carta berikut:

CARTA 3.1

STRUKTUR ORGANISASI KUMPULAN SRC PADA 15 FEBRUARI 2012

Screenshot 2016-07-18 10.25.11

3.3. Aktiviti utama PT SRC Indonesia adalah sebagai perunding pengurusan perniagaan manakala Pristine Link (BVI) Ltd. merupakan sebuah syarikat dorman sejak pengambilalihan pada tahun 2010.

3.4. Senarai keanggotaan Ahli Lembaga Pengarah SRCI dari tahun 2011 hingga tarikh dipindah milik kepada MKD pada 15 Februari 2012 adalah seperti jadual berikut:

JADUAL 3.2

LEMBAGA PENGARAH SRC INTERNATIONAL (MALAYSIA) LIMITED                DARI TEMPOH 7 JANUARI 2011 HINGGA 15 FEBRUARI 2012

NAMA

JAWATAN

TARIKH LANTIKAN

Datuk Suboh bin Md Yassin

Pengerusi/Pengarah Bukan Eksekutif

21.10.2011

Nik Faisal Ariff Kamil

Ketua Pegawai Eksekutif Pengarah Eksekutif

08.09.2011

Tan Sri Ismee bin Ismail

Pengarah Bukan Eksekutif

08.09.2011

Shahrol Azral bin Ibrahim Halmi

Pengarah Bukan Eksekutif

04.06.2011

Radhi bin Mohamad

Pengarah Bukan Eksekutif

04.06.2011

4. PEMBIAYAAN DAN GERAN KERAJAAN

4.1. Sebagai subsidiari 1MDB, SRC memperoleh sumber kewangan daripada geran Kerajaan dalam bentuk geran pembangunan berjumlah RM15 juta daripada RM20 juta yang diluluskan dan pembiayaan yang berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP). Butiran lanjut adalah seperti berikut:

4.1.1. Geran Pembangunan Daripada Unit Perancang Ekonomi

Peruntukan pembangunan berjumlah RM20 juta sebagai geran permulaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) pada 10 November 2010. Geran ini adalah bagi membiayai kos penubuhan SRC, perkhidmatan kepada Maybank Investment Bank dan proses due diligence bagi mengenal pasti aset dan syarikat perlombongan yang berpotensi untuk pelaburan.

4.1.2. Pembiayaan RM2 Bilion Daripada KWAP

4.1.2.1. Pada 3 Jun 2011, SRC telah mengemukakan surat permohonan kepada Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagi mendapatkan kelulusan pembiayaan berjumlah RM3.95 bilion daripada KWAP. Surat ini antara lainnya menyatakan tujuan permohonan pembiayaan tersebut adalah sebagai modal kerja dan pelaburan am tanpa had di dalam sektor sumber asli dengan jaminan korporat oleh 1MDB dalam tempoh pembiayaan selama 10 tahun. Pada 5 Jun 2011, beliau telah bersetuju dengan permohonan ini.

4.1.2.2. Pada 19  Julai 2011, Panel Pelaburan KWAP telah meluluskan pembiayaan sehingga RM2 bilion daripada RM3.95 bilion yang dimohon. Kelulusan jumlah pembiayaan sehingga RM2 bilion dibuat selepas mesyuarat dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWAP bahawa Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bersetuju dengan jumlah ini. Kelulusan pembiayaan tersebut adalah tertakluk kepada dua opsyen pembiayaan seperti berikut:

  1. KWAP menyalurkan pembiayaan kepada 1MDB dengan jaminan Kerajaan atau; dan
  1. KWAP menyalurkan pembiayaan kepada Kerajaan di mana Kerajaan kemudiannya menyalurkan pembiayaan kepada 1MDB.

4.1.2.3. Susulan daripada kelulusan ini, pada 12 Ogos 2011, SRC telah membuat permohonan rasmi pembiayaan berjumlah RM2 bilion daripada KWAP untuk tujuan pengoperasian syarikat dan aktiviti pelaburan. Surat permohonan in telah ditandatangani oleh pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SRC semasa itu.

4.1.2.4. Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011 telah bersetuju untuk memberikan jaminan kepada SRC sebagai syarikat subsidiari milik penuh 1MDB untuk memperoleh pinjaman sehingga RM2 bilion daripada sumber pasaran atau institusi kewangan domestik. Tujuan kelulusan jaminan pembiayaan adalah untuk pelaburan di dalam sektor sumber asli. Seterusnya, Kementerian Kewangan telah bersetuju memberikan jaminan kepada SRC berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri tersebut.

4.1.2.5. Pada 23 Ogos 2011, KWAP telah mengemukakan surat tawaran pembiayaan berjangka berjumlah RM2 bilion kepada SRC untuk tempoh 10 tahun yang menyatakan tujuan pembiayaan adalah untuk aktiviti pelaburan am dan modal pusingan SRC. Bayaran keuntungan akan dibuat setiap enam bulan bermula pada bulan ke-30 selepas tarikh pengeluaran. Keuntungan yang tidak dibayar akan dimodalkan dan ditambah kepada jumlah prinsipal pembiayaan. Terdapat empat syarat khas yang ditetapkan oleh KWAP iaitu:

a. Sebarang perubahan kepada pemilikan saham SRC tidak dibenarkan di mana 1MDB hendaklah mengekalkan pemilikan 100% saham SRC;

b. SRC hendaklah memaklumkan kepada KWAP sebelum menerima sebarang kemudahan pinjaman/pembiayaan daripada pihak lain;

c. SRC hendaklah mengemukakan Penyata Kewangan Tahunan diaudit dalam tempoh 180 hari dari tarikh akhir tahun kewangan; dan

d. SRC hendaklah mengemukakan laporan kemajuan suku tahunan mengenai kedudukan semasa dan prestasi aktiviti pelaburan dan perniagaan SRC.

4.1.2.6. Pada 26 Ogos 2011, SRC telah bersetuju menerima tawaran kemudahan pembiayaan melalui Facility Agreement yang telah ditandatangani antara KWAP dan SRC. Seterusnya, KWAP telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM2 bilion pada 29 Ogos 2011.

4.1.2.7. Melalui dana pembiayaan yang diterima daripada KWAP, Lembaga Pengarah SRC melalui resolusi bertarikh 14 November 2011 telah meluluskan pindahan dana kepada SRCI bagi tujuan placement in time deposit dan/ atau pelaburan atau keperluan perbelanjaan operasi dengan mendepositkan sejumlah USD170 juta dan USD5 juta di dua buah bank di Hong Kong, iaitu Bank Julius Baer dan Falcon Private Bank dan USD335 juta di BSI Bank, Lugano.

4.1.3. Pembiayaan Tambahan RM2 bilion

4.1.3.1. Pada 9 Januari 2012, SRC telah memohon kepada Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagi mendapatkan pembiayaan tambahan sejumlah RM1.95 bilion yang terdiri daripada RM650 juta dalam bentuk geran Kerajaan dan RM1.35 bilion pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan. Bagaimanapun, pada 2 Februari 2012, Kementerian Kewangan memutuskan supaya peruntukan geran tidak disediakan sebaliknya kesemua keperluan diberikan dalam bentuk jaminan pinjaman RM2 bilion. Pembiayaan tambahan diperlukan kerana pembiayaan sedia ada sejumlah RM2 bilion tidak mencukupi bagi menampung keperluan modal kerja SRC.

4.1.3.2. Pada 8 Februari 2012, Jemaah Menteri bersetuju untuk memberi jaminan Kerajaan terhadap pembiayaan tambahan sejumlah RM2 bilion kepada SRC dengan terma yang sama dengan pembiayaan pertama. Selepas keputusan Jemaah Menteri meluluskan pemberian jaminan Kerajaan, SRC telah dipindah milik daripada 1MDB kepada MKD.

5. PELABURAN USAHA SAMA ANTARA SRC INTERNATIONAL (MALAYSIA) LIMITED DENGAN AABAR INVESTMENTS PJS

5.1. Projek usaha sama antara SRC International (Malaysia) Limited (SRCI) dengan Aabar Investmets PJS (Aabar), iaitu subsidiari kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), syarikat milik Kerajaan Abu Dhabi diadakan pada 3 November 2011. Usaha sama ini merupakan inisiatif antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Abu Dhabi (G2G) bagi membolehkan SRC mendapat pengalaman dan memberi impak yang maksimum dalam sektor sumber asli. Di samping itu, kerjasama ini akan memberi peluang kepada SRC untuk bekerjasama rapat dengan Glencore Plc. bagi menerokai peluang pelaburan lain. Pemilihan Aabar sebagai rakan usaha sama pelaburan dibuat kerana syarikat ini merupakan pemegang saham terbesar di dalam Glencore Plc., iaitu sebuah syarikat dagangan sumber asli terbesar di dunia dengan nilai pasaran saham berjumlah RM236 bilion.

5.2. Dalam mesyuarat Lembaga Pengarah SRC pada 23 Ogos 2011, Ketua Pegawai Eksekutif SRC telah membentangkan cadangan usaha sama antara SRCI dengan Aabar. Antara objektif usaha sama ini adalah bagi membolehkan kedua-dua negara mengambil peluang pelaburan dalam industri komoditi dan sumber strategik yang semakin kompetitif. Bagi memastikan matlamat dan hala tuju usaha sama ini jelas serta penggunaan dana pembiayaan adalah mengikut tujuan usaha sama yang ditetapkan, Lembaga Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin telah menyatakan keperluan untuk melaksanakan due diligence.

5.3. Dalam Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah SRC pada 21 Oktober 2011, Lembaga Pengarah SRC telah bersetuju dengan terma Shareholder Agreement yang disediakan dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC memaklumkan ianya adalah selaras dengan hasrat dan objektif yang ditetapkan oleh pemegang saham. Seterusnya, melalui resolusi pada tarikh yang sama, Lembaga Pengarah SRCI telah meluluskan usaha sama SRCI dengan Aabar. Syarikat usaha sama yang akan ditubuhkan adalah Aabar-SRC Strategic Resources Limited (ASRC) dengan modal berbayar berjumlah USD1 bilion. Setiap rakan usaha sama akan menyumbangkan sejumlah USD500 juta dalam bentuk tunai bersamaan 50% pegangan ekuiti. Resolusi tersebut telah bersetuju untuk melantik Encik Nik Faisal Ariff Kamil daripada SRCI wakil Lembaga Pengarah ASRC.

5.4. Dimaklumkan dalam mesyuarat tersebut bahawa syarikat usaha sama ini ditubuhkan dengan modal berbayar awal berjumlah USD120 juta di mana setiap pihak akan menyumbang bahagian masing-masing berjumlah USD60 juta daripada USD500 juta. Manakala baki modal pelaburan akan ditambah mengikut keperluan pelaburan dari semasa ke semasa yang akan ditentukan oleh Lembaga Pengarah. Perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 3 November 2011 menyatakan modal berbayar awal berjumlah USD120 juta akan digunakan bagi tujuan berikut:

a. USD91 juta akan digunakan bagi pembelian 14,000,000 unit saham dengan nilai USD6.50 seunit dalam Gobi Coal & Energy Ltd. (GCE), Mongolia, iaitu sebuah syarikat pengeluar arang batu di Mongolia; da

b. USD29 juta akan diguna bagi lain-lain tujuan yang akan ditentukan oleh pemegang saham.

5.5. Lembaga Pengarah SRCI melalui resolusi bertarikh 21 Oktober 2011 bersetuju agar syarikat usaha sama membuat pelaburan arang batu di GCE berjumlah USD45.50 jua. Pada peringkat persetujuan pelaburan dibuat, GCE masih belum memulakan operasi dan masih d peringkat menyiapkan kerja awal pembinaan infrastruktur di lombong arang batu yang dijangka akan memulakan operasi pada tahun 2013. Keputusan Lembaga Pengarah SRCI untuk melabur dalam GCE di peringkat awal dibuat setelah mengambil kira bahawa pelaburan yang dilaksanakan adalah demi kepentingan terbaik SRCI.

5.6. Pada 3 November 2011, BNM meluluskan pindahan dana sejumlah USD586.32 juta (RM1.80 bilion) kepada akaun SRCI. BNM mengkehendaki dana tersebut disimpan di dalam akaun mata wang asing di bank tempatan berlesen sehingga pelaburan SRCI di empat syarikat yang dikemukakan kepada BNM dimuktamadkan, iaitu PT ABM Investama Tbk, (Indonesia), Bumi Resources Tbk PT, (Indonesia), Gobi Coal & Energy Ltd., (Mongolia) dan Erdenes-Travan Tolgoi, (Mongolia). Bagaimanapun, didapati dana SRC telah dikreditkan ke akaun SRCI antara 16 November 2011 hingga 13 Disember 2011 sebelum pelaburan di dua syarikat dimuktamadkan, iaitu Bumi Resources Tbk PT, Indonesia dan Erdenes-Travan Tolgoi, Mongolia. Sehingga 15 Februari 2012, tiada pelaburan dibuat oleh SRC di kedua-dua syarikat tersebut. Pada 17 Januari 2012, BNM telah memohon penjelasan daripada SRC lanjutan daripada sebahagian pengiriman dana berjumlah USD360 juta ke akaun SRCI sebelum pelaburan yang belum dimuktamadkan sepenuhnya. Mengikut maklumbalas SRC pada 17 Februari 2012, pemindahan dana ini diperlukan kerana komitmen SRCI dalam usaha sama bagi pelaburan di Mongolia, Indonesia dan lain-lain tempat.

5.7. Bagi melaksanakan pelaburan usaha sama dengan Aabar, resolusi Lembaga Pengarah SRC bertarikh 14 November 2011 telah bersetuju supaya sejumlah USD60 juta (RM184 juta) dipindahkan daripada akaun SRC ke akaun syarikat usaha sama Aabar -SRC Strategic Resources Limited bagi tujuan bayaran perolehan saham.

5.8. Semakan JAN mendapati Lembaga Pengarah SRCI telah meluluskan pelaburan di Mongolia tanpa menjalankan kajian feasibility terhadap projek yang akan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama dalam syarikat GCE. Adalah didapati kelulusan pelaburan yang dibuat secara resolusi ini tidak mengandungi maklumat lengkap dan terperinci berkenaan maklumat latar belakang pemilihan pelaburan serta jangkaan pulangan daripada pelaburan.

Mengikut maklum balas daripada pengurusan SRC, maklumat pelaburan di GCE adalah berdasarkan kajian feasibility yang dilaksanakan oleh pihak Aabar.

6. PELABURAN DI INDONESIA

6.1. Semasa Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah SRC pada 21 Oktober 2011, Ketua Pegawai Eksekutif SRC, telah membentangkan berkenaan cadangan pelaburan Initial Public Offering (IPO) sejumlah USD150 juta dalam PT ABM Investama TBK. Syarikat ini terlibat dalam industri pengeluaran dan perlombongan arang batu dan bekalan tenaga. Semasa kelulusan pelaburan dibuat, PT ABM Investama adalah dalam proses akhir penyenaraian dan dijangka disenaraikan di Indonesia Stock Exchange pada bulan Disember 2011. Dimaklumkan bahawa pelaburan dalam PT ABM merupakan salah satu usaha strategik bagi mengawal sumber arang batu untuk bekalan secara berterusan di Malaysia. Lembaga Pengarah SRC secara prinsipnya telah meluluskan pelaburan ini untuk melabur sehingga USD150 juta bagi tujuan tersebut bergantung kepada kelulusan penuh terhadap terma dan syarat kontrak yang akan dimasuki oleh pihak berkaitan.

6.2. Semasa mesyuarat Lembaga Pengarah SRC pada 14 Februari 2012, Ketua Pegawai Eksekutif memaklumkan bahawa SRC telah melabur sejumlah USD120 juta dalam PT ABM Investama TBK, Indonesia melalui saham tersiar harga yang telah disenaraikan di Indonesia Stock Exchange. Mesyuarat juga dimaklumkan anggaran keuntungan atas pelaburan tersebut adalah berjumlah USD4 juta.

7. PEMINDAHAN SAHAM KEPADA MENTERI KEWANGN DIPERBADANKAN

7.1. Pada 9 Januari 2012, SRC telah mengemukakan surat kepada Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagi memohon sokongan dan pandangan terhadap lapan inisiatif berkaitan halatuju syarikat. Salah satu daripada inisiatif yang dinyatakan dalam surat ini adalah mengenai pemindahan pegangan saham SRC kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Perenggan tersebut menyatakan bahawa ‘SRC adalah dimiliki sepenuhnya oleh 1MDB dan 1MDB merupakan syarikat 100% d bawah MKD. SRC akan dimiliki 100% oleh MKD pada 17 Februari 2012’. Perkara ini telah dipersetujui pada 10 Januari 2012. Sehubungan itu, Lembaga Pengarah 1MDB dalam mesyuarat pada 12 Januari 2012 telah bersetuju bagi penjualan saham 1MDB dalam SRC kepada MKD.

7.2. Pada 2 Februari 2012,  pengurusan 1MDB telah mengemukakan memo kepada Lembaga Pengarah 1MDB berkenaan pembayaran dividend-in-specie kepada MKD sebagai balasan pengambilalihan saham SRC. Pengeluaran dividend-in-specie ini tidak melibatkan pengeluaran tunai dan tidak menjejaskan kedudukan aset bersih serta struktur modal saham 1MDB. Berdasarkan justifikasi yang dinyatakan melalui memo tersebut, Lembaga Pengarah 1MDB melalui resolusi bertarikh 2 Februari 2012 meluluskan pembayaran interim dividend-in-specie kepada MKD melalui pelaburan saham 1MDB di SRC.

7.3. Pada tarikh yang sama, Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan cadangan perpindahan saham tersebut dengan justifikasi bahawa pelaburan SRC lebih tertumpu di luar negara berikutan kekurangan sumber asli strategik tempatan bagi penjanaan tenaga dan kuasa. Kementerian Kewangan berpandangan adalah wajar SRC dipegang terus oleh Kerajaan melalui pegangan ekuiti MKD bagi memudahkan rundingan kerjasama dua hala dengan Kerajaan asing bagi tujuan eksplorasi dan perlombongan seterusnya membolehkan sumber strategik ini dibawa balik ke Malaysia bagi kegunaan tempatan.

7.4. Kaedah pengambilalihan saham SRC oleh MKD dilaksanakan melalui bayaran interim dividend-in-specie oleh 1MDB kepada Kerajaan pada 14 Februari 2012 di mana Kerajaan telah menerima dividen dalam bentuk saham dan bukan wang tunai. Pemindahan saham SRC daripada 1MDB kepada MKD dibuat berdasarkan kos asal pelaburan 1MDB dalam SRC yang berjumlah RM1 juta. Jumlah ini juga diambil kira sebagai kos pelaburan MKD dalam SRC. Perolehan saham SRC melalui kaedah ini tidak akan melibatkan peruntukan kewangan dan tidak perlu memeterai satu perjanjian jual beli saham.

7.5. pada tarikh pemindahan saham, liabiliti bersih dan pindahan dari rezab Kumpulan SRC adalah seperti jadual berikut:

JADUAL 3.3

KEDUDUKAN LIABILITI BERSIH DAN PINDAHAN REZAB  KUMPULAN SRC PADA TARIKH 15 FEBRUARI 2012

PERKARA

(RM)

Liabiliti Bersih

15,371,000

Pindahan dari rezab

65,286,000

Sumber: Penyata Kewangan 1MDB Bagi Tahun 2012

Nota: Termasuk dalam liabiliti bersih adalah tunai dan keserataan tunai berjumlah RM1.778 bilion yang telah dipindahkan pada tarikh pemindahan saham.

7.6. Pemindahan hak milik SRC kepada MKD pada 15 Februari 2012, telah memberi kesan kepada perkara berikut:

a. Kerugian Operasi Kumpulan 1MDB berkurangan daripada RM25 juta kepada RM16.2 juta;

b. Nilai gearing ratio 1MDB menurun daripada 12 kali kepada 9.5 kali dan membantu mengurangkan restrictive covenants yang dikenakan oleh peminjam kepada 1MDB untuk mendapat pembiayaan bagi projek TRX dan Bandar Malaysia; dan

c. Mengurangkan jaminan Kerajaan kepada Kumpulan 1MDB sejumlah RM2.902 bilion.

TAMAT


Chapters


English translations


Translate